Lelaki bertengkar dengan pekerja kedai ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki bertengkar dengan pekerja kedai ditahan

RAKAMAN kekecohan yang berlaku selepas seorang lelaki bertengkar dengan pekerja kedai di Lahat, Ipoh kelmarin.-GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki dalam video tular berhubung kejadian pertengkaran di sebuah kedai runcit di Lahat kelmarin disahkan berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan semalam setelah pihaknya menerima laporan polis yang dibuat pekerja kedai berkenaan pada pukul 2.50 petang.

Katanya, lelaki itu kemudiannya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut.

“Lelaki itu diberkas pada pukul 8.45 malam semalam dan ditahan 24 jam untuk siasatan. Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan/Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu gaduh gempar di tempat awam dan berkelakuan aib.

“Lelaki itu juga mengaku dalam keadaan mabuk semasa kejadian berlaku dan didapati mempunyai tiga rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan kompaun juga dikenakan ke atas lelaki itu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kes ini dianggap selesai dan orang awam dinasihatkan tidak menularkan video rakaman kejadian itu kerana boleh mendatangkan kemudaratan dan mengganggu keharmonian kaum,” katanya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 35 saat itu tular di media sosial yang memaparkan insiden pertengkaran antara suspek yang mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah seorang pekerja wanita di kedai runcit berkenaan.

Pertengkaran itu berlaku apabila mangsa menegur tindakan lelaki terbabit yang memasuki premis itu tanpa memakai pelitup muka dan mencatat butiran pada buku daftar masuk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN