SUNGAI PETANI: Jenazah legenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Raudatul Solihin, Taman Kelisa, Amanjaya di sini pukul 11.45 pagi hari ini.
Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan berkenaan pada pukul 10.40 pagi selepas disolatkan di Masjid Al-Abrar, Taman Peruda berdekatan kediamannya di sini.
Lebih 300 ahli keluarga, kenalan dan peminat hadir di tanah perkuburan tersebut untuk memberi penghormatan terakhir.
Turut hadir beberapa orang bekas pemain skuad negara dan Pulau Pinang seperti Datuk Shukur Salleh, Yunus Aliff, Ramli Mahmud, Rahim Mohamad, Ishak Ahmad dan Mohd. Khalil Hashim.
Majlis pengebumian Allahyarham diurus sepenuhnya oleh kakitangan Jabatan Penjara Malaysia.
Terdahulu jenazah Allahyarham ditempatkan di rumahnya di Taman Peruda di sini selepas tiba dari kediaman menantunya di Kemunting, Taiping, Perak pada pukul 11 malam semalam.
Allahyarham meninggal dunia di rumah anak keenamnya, Munaliza pada pukul 5.30 petang semalam selepas lama menderita penyakit barah usus dan lumpuh sebelah badan akibat angin ahmar.
Menantu Allahyarham, Dzulizwar Mohd. Bakir, 39, berkata, mertuanya telah tinggal bersama mereka sejak bulan Mac lalu.
“Sepanjang tinggal bersama kami, ramai rakan beliau yang terdiri daripada bekas pemain bola sepak negeri dan negara hadir melawatnya.
“Bapa mentua saya mula tidak lalu makan dua hari sebelum dia meninggal menyebabkan kesihatannya merosot,” katanya.
Dzuliwar menambah, sebelum mentuanya menutup mata, dia masih dapat bercakap dan tidak lupa mengucap syukur kerana sering diziarahi oleh kenalan lamanya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Mahani Sulaiman, 72, dua anak lelaki serta lima anak perempuan. -UTUSAN ONLINE