PASIR GUDANG: Penduduk kampung Taman Sri Saujana, Plentong di sini berharap kerajaan negeri campur tangan dalam menyelesaikan kemelut lebih 50 tahun menunggu bagi mendapatkan geran tanah.
Suri rumah, Anggerik Abidin, 48, berkata, penduduk yang tinggal di kampung tersebut sudah memasuki generasi kedua namun geran tanah masih belum dimiliki.
Katanya, masalah yang timbul ketika ini adalah tuntutan bertindih antara beberapa penduduk dan syarikat yang mendakwa sudah memiliki tanah itu.
“Keluarga kami yang merupakan generasi pertama sebelum ini sudah membuat bayaran bulanan kepada syarikat yang memiliki tanah ini.
“Namun status tanah ini diubah dari tanah milik persendirian kepada tanah untuk projek pembangunan tanpa memaklumkan kepada penduduk kampung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Anggerik memberitahu, mereka bukan penduduk setinggan dan sudah lama menetap di kampung tersebut tetapi malangnya kira-kira 10 buah rumah di kampung itu sudah dirobohkan sejak 2015.
Dalam pada itu, Hassan berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan mana-mana rumah tidak boleh dirobohkan sesuka hati tanpa mendapat kebenaran atau perintah mahkamah.
Beliau memberi jaminan Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang akan membantu menyelesaikan masalah penduduk di kawasan tersebut.
Menurutnya, sebahagian daripada penduduk di kampung itu sudah memiliki geran manakala beberapa lagi masih belum memilikinya.
“Perkara ini berkait dengan hak milik dan semua pihak perlu bekerjasama menyelesaikannya termasuk daripada pihak kerajaan,” katanya.
Che Zakaria pula berkata, penduduk terlibat perlu menghantar memorandum kepada kerajaan dan beliau akan menyerahkannya kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
“Terdapat lebih 800 lot tanah dalam kawasan seluas 0.4 hektar di kawasan itu dan masalah sudah berlarutan sejak sekian lama,” katanya.
Tambahnya, siasatan akan dilakukan terhadap dakwaan penduduk sebelum memorandum itu diserahkan termasuk satu salinan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN