PUTRAJAYA: Sejumlah 900,000 bantuan berupa bakul makanan diagihkan kepada ketua isi rumah yang berjaya memberi manfaat kepada lebih 3.6 juta rakyat di seluruh negara.
Malah inisiatif dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sejak dilancarkan lebih sembilan bulan lalu itu akan diperkasa menerusi Kembara Prihatin Negara.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, siri jelajah yang bermula pada 1 November lalu itu sudah melaksanakan 206 program bersama rakyat melibatkan hampir 80 buah daerah.
“Sumbangan bakul ini asalnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan didapati ramai terkesan apabila hilang sumber pendapatan atau dibuang kerja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir memberi bakul makanan sempena Kembara Prihatin Negara kepada 47 penerima di Pangsapuri Cempaka, Sepang dekat sini hari ini.
Turut serta ialah Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga di perumahan itu, Hasim Yunus serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang dan Yayasan Kebajikan Negara.
Mengulas lebih lanjut, Rina berkata, program jelajah itu turut mendapat sumbangan hampir RM20 juta daripada 25 badan korporat dan berjaya menyantuni 5,204 klien sehingga semalam.
“Selain bagi bakul makanan, van kembara ini dijadikan pejabat bergerak untuk mendaftar klien yang layak menerima pelbagai skim bantuan JKM dan individu pencari kerja,” kata beliau.
Inisiatif itu ujarnya, mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Kerja yang sanggup ‘turun padang’ kerana kementerian mahu penerima turut perbaiki hidup dengan memperoleh pekerjaan baharu.
Menyentuh program bantuan kepada rakyat, Rina memaklumkan di bawah Belanjawan 2021, pihaknya menjangka lebih 500,000 penerima akan mendapat manfaat secara langsung.
Ia susulan peningkatan kadar elaun daripada RM350 kepada RM500 disebabkan pentakrifan semula garis kemiskinan nasional iaitu RM2,208 berbanding RM980 ditetapkan sebelum ini.
“Kita berhasrat dengan pertambahan peruntukan, kementerian dapat menyalurkan bantuan kepada 162,000 ibu tunggal selain 3.5 juta rakyat menerima faedah bakul makanan,” katanya. -UTUSAN ONLINE