Lebih 183,000 pekerja tidak bekerja semasa PKPB - Utusan Malaysia

Lebih 183,000 pekerja tidak bekerja semasa PKPB

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri pada Oktober lalu menyaksikan jumlah mereka yang tidak bekerja meningkat ketara.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sejumlah 183,600 orang pekerja yang tidak dapat bekerja buat sementara waktu direkodkan pada bulan itu.

Angka itu ujarnya, naik berbanding 100,700 orang penduduk bekerja namun tidak bekerja yang direkodkan oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan sebelumnya.

“Bagaimanapun, negara kita pernah catat bilangan tertinggi mereka yang tidak dapat bekerja sementara waktu iaitu 5.9 juta orang pada April lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menambah, situasi tersebut disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa awal ketika itu apabila banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup di seluruh negara.

Kumpulan ini kata Mohd. Uzir, berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tetapi tidak dapat dikategorikan sebagai penganggur kerana masih mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.

Ini jelas beliau, dapat dilihat pada data Oktober yang merekodkan bilangan penganggur di seluruh negara secara rasmi iaitu 748,200 orang, naik 10,700 orang berbanding September.

Sementara penganggur tidak aktif atau kelompok pasif yang percaya tiada lagi kerja pada Oktober sebaliknya rendah iaitu 125,100 orang jatuh 2,000 orang daripada bulan sebelumnya.

“Malah, penduduk bekerja catat trend menaik lima bulan berturut-turut dengan peningkatan 14,000 orang kepada 15.21 juta pada Oktober berbanding September,” kata Mohd. Uzir lagi.

Sebaliknya ujar beliau, bilangan yang bekerja sendiri pula jatuh kepada 2.43 juta orang pada Oktober berbanding bulan sebelumnya dan mungkin disebabkan situasi ekonomi amat lemah.

Kedudukan pasaran buruh pada bulan itu kata beliau, juga dapat dilihat melalui statistik data Kehilangan Pekerjaan yang dilapor oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sendiri.

Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu merekodkan seramai 7,416 orang hilang kerja sepanjang Oktober lalu daripada hanya 7,388 orang yang dicatatkan pada September.

Namun kata Mohd. Uzir, Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso melalui portal MYFuture Jobs melaporkan 98,568 kekosongan jawatan berbanding 57,733 pencari kerja pada Oktober lalu.

“Secara keseluruhan, pasaran buruh berdepan trend ketidaktentuan ditambah situasi semasa wabak Covid-19 sebelum berakhirnya pelaksanaan PKPB secara berpeirngkat,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya