ISKANDAR PUTERI: Penglibatan seramai 323 kontraktor bumiputera Johor dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura bakal membuka jalan kepada mereka menyertai pembinaan projek mega pada masa depan.
Pengarah Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd. (MRTS), Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, perkara itu akan dicapai menerusi kerjasama pihaknya dengan Johor Centre For Construction Development (JCCD).
“Kerjasama ini bukan hanya melibatkan pembinaan fasa pertama projek RTS, namun, kita juga melihat untuk melibatkan kontraktor bumiputera Johor dalam pembinaan lain.
“MoU ini akan membantu syarikat kontraktor bumiputera Johor membina track record dan menimba pengalaman, kerana kami berhasrat untuk melibatkan mereka dalam pelbagai projek lain di seluruh negara, termasuk di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Majlis Menandatangani MoU secara maya antara JCCD dan MRTS di Kota Iskandar di sini hari ini.
Hadir menyaksikan majlis berkenaan, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri; Ketua Pegawai Eksekutif JCCD, Ekmaludin Ishak dan Pengarah Projek RTS, Zulkifli Mohamed.
Sementara itu, Hasni berkata, pihaknya menyambut baik jalinan kerjasama itu yang dapat membantu kontraktor bumiputera Johor meningkatkan kemampuan dalam sektor pembinaan rel.
“Bagi memastikan pembinaan melibatkan kontraktor JCCD berjalan lancar dan sempurna, hanya kontraktor yang diberi penarafan empat dan lima bintang sahaja akan terpilih.
“Kontraktor bumiputera perlu merebut peluang dalam sektor pembinaan rel kerana selain RTS, antara projek rel lain termasuklah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru,” ujarnya.
Beliau turut berharap kerjasama ini akan menjadi pencetus dan pemangkin kepada pembudayaan penggunan sistem pengangkutan awam di Johor melengkapkan lagi sistem sedia ada. -UTUSAN ONLINE