KLANG: Lagi insiden melibatkan papan tanda jalan dengan tidak menggunakan tulisan Bahasa Melayu.
Terbaharu, dua papan tanda jalan dengan tulisan Tamil yang sengaja diletakkan pihak tidak bertanggungjawab dikesan di sekitar Taman Sentosa di sini.
Bagaimanapun, pasukan khas Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menyita papan tanda jalan di Jalan Dato Dagang 6 dan Jalan Dato Yusof Shahbudin 18E kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin.
Timbalan Pengarah Penguatkuasanya, Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, pelaksanaan operasi itu hasil maklumat awam mengenai kewujudan papan tanda jalan tidak sah tersebut sejak Rabu lalu.
“Pemeriksaan kemudian mendapati papan tanda tertera tulisan Tamil berada di persimpangan dua jalan berkenaan.
“Oleh demikian, anggota kita segera mencabut dan menyitanya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jarak antara kedua-dua lokasi itu kurang dua kilometer (km).
Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial yang memaparkan seorang individu didakwa meletakkan papan tanda itu di Jalan Dato Dagang 6.
Tambah Shahrul Hazri, tiada penahanan dilakukan pihaknya namun tindakan tegas boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melakukan perbuatan itu.
“Kesalahan ini adalah membina dan mendirikan sesuatu papan tanda tanpa kebenaran di tempat awam sehingga menyebabkan halangan.
“Pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan ditetapkan
dan tidak cuba menimbulkan kemarahan masyarakat setempat.
Pada November 2018, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua papan tanda nama jalan bertulisan Cina ditanggalkan dan diganti serta merta.
Baginda menitahkan ia segera digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.
Titah itu susulan penggunaan tulisan Cina pada papan tanda nama jalan di sekitar Kampung Melayu Subang, Shah Alam, yang tular di media sosial dan mengelirukan orang ramai.-UTUSAN ONLINE