PUTRAJAYA: Setelah mencatatkan rekod tertinggi ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan perayaan Krismas, semalam, jumlah itu kembali turun kepada 456 individu.
Mereka berjaya ditahan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis di seluruh negara atas pelbagai kesalahan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 421 individu terbabit dikenakan kompaun RM1,000 manakala 34 lagi direman dan baki seorang hanya dijamin.
“Kes tertinggi ialah aktiviti pusat hiburan (179), gagal jarak fizikal (167), tiada peralatan merekod butiran (67), tidak memakai pelitup muka (45) dan lain-lain (7),” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, sejumlah 2,349 pasukan pematuhan meliputi 10,093 anggota memantau 3,295 pasar raya, 4,528 restoran, 1,457 penjaja, 1,082 kilang, 3,118 bank dan 458 pejabat kerajaan.
Ismail Sabri menambah, turut dipantau pasukan berkenaan ialah sebanyak 966 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air dan 91 terminal pengangkutan udara.
Sejumlah 57 pendatang asing tanpa izin ujarnya, ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19.
“Tiga buah kenderaan darat juga dirampas manakala sebanyak 114 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.
Dalam pada itu beliau menambah, sebanyak 19 operasi sanitasi awam meliputi tujuh zon merah, dua zon jingga, lima zon kuning dan dua zon hijau dengan melibatkan sembilan negeri.
Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga kini seramai 7,125 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Sejumlah 85,409 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 75 buah hotel serta 17 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.-UTUSAN ONLINE