Lagi 235 tangkapan ingkar SOP - Utusan Malaysia

Lagi 235 tangkapan ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lagi tangkapan ingkar kesalahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Polis semalam menahan 235 individu dengan 233 daripadanya dikenakan kompaun manakala dua individu direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan itu ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82), tidak memakai pelitup muka (81), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (57) dan lain-lain kesalahan (15).

Menurut beliau, sebanyak 50,724 pemeriksaan dilakukan melalui 2,990 Pasukan Pematuhan melibatkan 13,025 anggota.

“Op Benteng pula berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima penyeludup serta merampas tujuh kenderaan darat dan empat bot atau kapal selain mengadakan 117 sekatan jalan raya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu, seramai 87,013 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 74 hotel dan 17 premis lain.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 9,405 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu dihantar ke hospital untuk rawatan selain 77,076 individu dibenarkan pulang.

Katanya, sebanyak 13,953 jumlah pemeriksaan dilakukan penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melibatkan 7,988 tapak binaan di seluruh negara sejak 20 April lalu.

“Semalam, anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di 20 tapak binaan di seluruh negara dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Berhubung operasi sanitasi awam kata beliau, sebanyak 12,709 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac lalu merangkumi 137 zon.

Katanya, sebanyak 14,537 premis disanitasi terdiri daripada 2,910 pusat perniagaan, 1,686 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,894 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,690 bangunan kerajaan.

“Semalam, sebanyak 43 operasi sanitasi meliputi 10 zon merah, satu zon jingga, 11 zon kuning dan empat zon hijau melibatkan sembilan negeri.

“Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut membuat pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di 659 premis perniagaan termasuk peruncit (472), pemborong (156) dan pengilang (31).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya