KUALA LUMPUR : Keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meletakkan syarat dalam dua kategori dianggap tidak adil ekoran setiap individu kini sedang bergelut dalam masalah ekonomi kehidupan masing-masing.
Pekerja swasta, Izzul Afiq Azmi, 30, berkata, walaupun dia memenuhi syarat-syarat ditetapkan dan layak memohon, namun ketetapan yang dibuat kerajaan dilihat tidak munasabah.
“Ketika diumumkan pada 6 November lalu, kerajaan memberikan harapan semua pemegang boleh mengeluarkan wang simpanan dari Akaun 1 KWSP, namun semalam pelbagai syarat pula ditetapkan, ini memang tidak adil,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh di sini, hari ini.
KWSP mengumumkan permohonan i-Sinar dalam talian akan dibuka bermula 21 Disember ini membabitkan dua kategori kriteria kelayakan pemohon yang turut menetapkan beberapa syarat kepada pencarum.
Bagaimanapun keputusan KWSP tersebut mendapat kritikan rakyat khususnya golongan pencarum yang mahu pengeluarannya dipermudahkan dan tanpa syarat.
Sementara itu, Mohd. Khairul Azni Alias, 39, berkata, dia bersetuju mengenai penetapan pengehadan amaun yang bergantung kepada jumlah simpanan pemegang, namun syarat-syarat kelayakan pemohon itu tidak perlu diwujudkan.
“KWSP hanya perlu membuat pengiraan bagi peratusan pengeluaran dan itu terpulang kepada sebarang keputusan setelah dikaji tentang impak kepada negara,” katanya.
Kakitangan swasta, Mohd. Fairuz Salehan, 35, dari Batu Berendam meminta pihak kerajaan mengkaji semula syarat-syarat tersebut dengan cadangan hanya menetapkan jumlah minimum kepada mereka yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan.
“Paling tidak golongan yang kini dikategorikan sebagai tidak layak dapat mengeluarkan sejumlah wang sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah dibenarkan kerajaan pada waktu ini kerana semua orang dalam kesusahan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim meminta urusan pengeluaran wang dari Akaun 1 KWSP dipermudahkan.
Menurut beliau, wang dari akaun itu adalah milik rakyat dan kerajaan sebagai pemegang amanah sahaja.
“Permudahkanlah pengeluaran duit KWSP kerana ramai rakyat yang terjejas ketika ini, ramai rakyat yang tidak lepas bayar kereta, rumah, bil elektrik dan ada juga kes tidak lepas beli susu anak,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. -UTUSAN ONLINE