BALING: Modus operandinya mudah iaitu menyumpit lembu, bawa lari dan sembelih sebelum menjual dagingnya pada harga lebih murah di pasaran.
Itu bisnes mudah dua kumpulan aktif mencuri lembu dikenali ‘Geng Mat Beruk’ dan ‘Geng Azhar’ yang ditumpaskan polis selepas memberkas 12 ahli kedua-dua kumpulan itu dalam Op Khas membanteras jenayah itu di Kedah dan Pulau Pinang pada Ahad lalu serta semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kumpulan terbabit giat melakukan jenayah itu dengan mencuri lembu dan menjual daging pada harga lebih murah di pasaran sejak tahun 2018.
Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki dan dua wanita daripada ‘Geng Mat Beruk’ di perkarangan letak kereta pukul 10 pagi berdekatan stesen bas Kulim dekat sini, pada Ahad lalu.
Katanya, hasil siasatan ke atas suspek itu, polis menahan seorang lagi lelaki yang berada di dalam kereta Proton Wira di sebuah rumah Taman Mutiara, Karangan Kulim.
“Hasil tangkapan suspek tersebut, polis menahan dua lagi lelaki di Kampung Tepi Sungai, Tasek Gelugur, Pulau Pinang.
“Kesemua suspek yang berusia antara 22 sehingga 36 tahun itu ditahan pada hari yang sama dan merampas pelbagai peralatan untuk mencuri lembu termasuk batang paip dan cecair dipercayai ubat pelali untuk menyumpit lembu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di sini, hari ini.
Shamsudin berkata, salah seorang Geng Mat Beruk yang ditahan itu dipercayai pembeli dan menjual daging lembu yang curi.
Katanya, kumpulan itu juga dipercayai menggunakan kenderaan yang dicuri yang diubah suai untuk melakukan jenayah tersebut.
Sementara itu, polis juga menahan lima individu ‘Geng Azhar’ yang turut terbabit dalam jenayah sama dalam satu serbuan di tiga lokasi berasingan kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.
Beliau berkata, tangkapan tiga lelaki di Kampung Jawa Batu 2, Kuala Ketil membawa kepada penahanan dua lagi suspek di Kampung Tok Pawang Bedong dan Taman Ilmiah Kulim.
“Semua suspek berusia 22 sehingga 35 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan rekod dadah malah empat suspek turut positif dadah jenis syabu,” katanya.
Shamsudin berkata, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi lembu di daerah Baling dan Kuala Muda, Sungai Petani dengan penahanan individu terbabit.
“Kes yang membabitkan kedua-dua kumpulan itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE