ALOR SETAR: Tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini bukan atas dasar perkauman, agama dan diskriminasi terhadap pihak tertentu.
Sebaliknya, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kuil tersebut dirobohkan selepas didapati dibina secara tidak sah mengikut undang-undang.
Menurutnya, MBAS juga telah mengeluar beberapa kali notis pengosongan tapak asal kuil tersebut sebelum tindakan tersebut diambil.
“Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) tidak hanya dikuatkuasakan kepada kuil hindu, tokong atau rumah ibadat sebaliknya turut berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan atau hadangan.
“Bukan kuil itu saja dirobohkan di Taman Bersatu itu, sebaliknya sebuah gelanggang silat berdekatan turut dirobohkan di bawah akta sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak antaranya Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri merobohkan kuil tersebut beberapa hari lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sedikit kekecohan yang diapi-apikan oleh pihak berkepentingan ketika ini adalah risiko yag terpaksa dihadapi bagi membina masa depan lebih tenteram dan harmoni.
Malah, katanya, sebelum ini, pihak sama turut mengelak daripada mengakui bahawa satu tapak lebih besar, luas dan selesa telah diberikan untuk menggantikan tapak sebuah kuil yang terbabit dengan pelebaran landasan kereta api di daerah ini.
“Dalam kes itu, mereka kembali mendirikan kuil di tapak asal biar pun telah mendirikan kuil lain di tapak baharu.
“Kes itu juga diputar belit bagi menggambarkan Pas merupakan pelampau agama,” katanya lagi.
Katanya, para pemimpin politik di negara ini perlu bertindak sebagai pendamai, penjaga keharmonian dan tata atur selari dengan undang-undang dan peraturan. -UTUSAN ONLINE