GEORGETOWN: Pergolakan politik yang berlaku di Perak ketika ini tidak menjejaskan hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Meskipun wujud situasi ‘terasa hati’ beberapa pihak di dalam PN ekoran krisis yang berlaku, namun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kesemua parti komponen PN masih mendokong dasar dan polisi kerajaan yang sama.
Malah, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor melahirkan keyakinan situasi politik di Perak akan kembali tenang dan normal dalam tempoh seminggu dua lagi.
“Saya tidak melihat berlakunya pertelagahan antara PN dan BN ekoran apa yang berlaku di Perak dan masing-masing masih menghayati landasan kerjasama yang ada serta mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi.
“Saya juga yakin apa yang berlaku akan dapat diselesaikan apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membuat keputusan nanti dan keadaan akan kembali normal,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai krisis politik di Perak selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal mendapat undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dalam kalangan ADUN UMNO semalam.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pengagihan kerusi antara parti di dalam PN negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Shabudin berkata, perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat kerjasama antara parti.
Tambah beliau, soal pengagihan kerusi juga masih terlalu awal untuk dibangkitkan selain berkemungkinan boleh menimbulkan rasa kurang selesa antara parti di dalam PN.
“Buat masa ini setiap parti politik PN mempunyai perancangan dan hala tuju sendiri dan apabila tiba masanya kita akan bawa perbincangan mengenai kedudukan kerusi ini dalam mesyuarat bersama pucuk pimpinan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE