HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini giat mengesan lokasi pengedaran daging sejuk yang diseludup masuk ke negara ini.
Timbalannya, Datuk Rosol Wahid berkata, tumpuan tidak hanya difokuskan di Johor semata-mata susulan serbuan ke atas gudang membabitkan kartel daging yang memalsukan logo halal di Taman Perindustrian Senai.
“Kita tengok pengedarannya dan kalau didapati daging di pasaran itu daripada sumber taktik kartel yang memalsukan logo halal, maka kita akan rampas.
“Siasatan turut melihat dari sudut dalaman sama ada wujud penglibatan pegawai atau kakitangan jabatan atau sebaliknya,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bengkel perusahaan kerepek pisang di Kampung Teris, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengetuai serbuan melibatkan sebuah syarikat yang menyeludup daging sejuk beku ke negara ini dan membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal palsu.
Berdasarkan siasatan awal, daging sejuk beku yang diseludup masuk itu datang dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina. -UTUSAN ONLINE