MACHANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 2,040 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM5,100 dari dua kenderaan di Jalan Pangkal Meleret di sini semalam.
Rampasan itu dibuat dalam Op Benteng Covid bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) melibatkan tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP dan tiga pegawai Aksem yang dilaksanakan bermula pukul 6 petang hingga 10 malam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, dalam kejadian itu, pihaknya juga menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 30-an.
“Tindakan dilakukan hasil risikan anggota KPDNHEP terhadap dua jenis Proton Waja dan Ford yang membuat pembelian dengan pemborong sekitar Machang dan seterusnya membawa ke sempadan negara untuk diseludup ke negara jiran.
“Kita menahan dua kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia bersama dua pemandu dan seorang penumpang di lokasi itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek membuat pengakuan minyak masak tersebut akan dihantar ke pangkalan haram Bukit Lata, Pasir Mas untuk tujuan diseludup ke Mundok, Thailand.
Tambah Azanizam Affendi, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan dengan niat melakukan penyeludupan.