HULU SELANGOR: Beroperasi secara haram dengan menjalankan kegiatan penternakan ikan keli di kolam secara haram tanpa sebarang lesen perniagaan sejak 2004 dan tiada kelulusan bangunan (KM).
Namun, perbuatan pemilik kolam ikan itu hanya dikesan selepas premis yang terletak di PT15680 dan PT523, Mukim Sg. Tinggi, Hulu Selangor menjadi punca sistem agihan bekalan air di tujuh wilayah terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan,Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd(Air Selangor) telah mengesan kesan pencemaran bau 4 ton di Sungai Selangor kira-kira pukul 9.50 malam semalam.
Menurut Loy Sian, Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mencari punca bau seakan-akan bangkai ikan dan mendapati kolam ternakan ikan keli itu punca pencemaran di Sungai Selangor yang jaraknya hanya 100 meter sahaja.
Katanya, kolam ternakan ikan keli seluas 45 hektar diusahakan Syarikat Pinang Kasturi ini mempunyai 57 kolam dan mendapat kebenaran pajakan selama 99 tahun terletak kira-kira 8.7 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.
“Siasatan mendapati, pemilik premis telah melakukan pelepasan sisa kumbahan daripada salah sebuah kolam ternakannya. Pemilik mengatakan dia dalam proses mengeringkan kolamnya dan telah melepaskan sisa air ini sejak tujuh hari yang berakhir semalam.
“Hasil siasatan mendapati tanah ini hak milik syarikat terbabit dan kegunaan tanah untuk ternakan air. Malangnya, mereka tidak ada kelulusan bangunan (KM) dan tiada lesen perniagaan daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).
“Oleh demikian, LUAS telah membuat laporan di Balai Polis Bestari Jaya pada pukul 3 pagi tadi untuk berhubung henti tugas empat LRA akibat pencemaran bau,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kawasan kolam ternakan ikan keli itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loy Sian berkata, setiap kolam ternakan itu mempunyai kira-kira 400 hingga 600 ekor ikan keli, namun tidak semuanya mempunyai ikan.
“Pencemaran melibatkan kolam ternakan ikan keli ini merupakan yang ke-11 pada tahun ini dan kali kedua melibatkan premis kolam ternakan pada Februari tahun lalu.
“Setakat ini, kita telah mengarahkan kolam ternakan ini ditutup dan meminta MDHS mengambil tindakan lanjut dengan menyerahkan notis supaya membersihkan kawasan dan kompaun serta roboh, namun bagi rampasan tanah, pejabat tanah perlu melihatnya semula,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat penternakan kolam ikan keli itu bakal menjadi pesalah pertama didakwa menggunakan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999.
“Kita akan menggunakan enakmen tersebut yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1juta dan penjara mandatori tidak melebihi tiga tahun.
“Kerajaan negeri tidak akan berlembut dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah ini dan kita serius menangani kes pencemaran air di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, susulan pencemaran bau 4 ton dikesan di Sungai Selangor, empat LRA iaitu Rantau Panjang dan Fasa 1,2 dan 3 terpaksa dihenti tugas dalam tempoh lima jam. Keempat-empat LRA ini terpaksa dihenti tugas susulan Air Selangor mengesan bau 1 ton di muka sauk di semua loji tersebut.
Akibat daripada pencemaran tersebut, sebanyak 861 di lapan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mengalami tekanan air rendah dan bekalan air tidak stabil. -UTUSAN ONLINE