PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendapati kluster berkaitan pekerja iaitu Kluster Teratai di Selangor dan Kuala Lumpur, sudah merebak ke peringkat komuniti membabitkan dua generasi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terbabit dilihat menjangkiti komuniti di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) sehingga menyebabkan sebanyak 152 kes baharu hari ini.
Katanya, kluster terbabit membabitkan pekerja warga asing yang mana mereka semua duduk di asrama ataupun penginapan yang disediakan majikan.
“Namun, terdapat 164 pekerja itu adalah warga tempatan dan mereka pulang ke rumah masing-masing sekali gus menjangkiti ahli keluarga mereka.
“Siasatan dibuat menemui jangkitan terbabit menyebabkan dua generasi dijangkiti sekali gus menyebabkan lebih kurang 150 kes membabitkan warganegara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Kluster Teratai turut merebak dalam komuniti.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 778 kes di Selangor adalah daripada Kluster Teratai yang dikaitkan dengan pekerja kilang Top Glove.
Ini menjadikan Selangor terus mencatat kes tertinggi positif Covid-19 semalam dengan 891 kes diikuti Sabah, 267 kes dan Negeri Sembilan, 146 kes.
Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya juga sedang membuat saringan di peringkat komuniti di Meru, Klang, Selangor.
“Kita berharap dapat membendung penularan jangkitan dalam komuniti. Setakat ini, hanya komuniti terlibat di Selangor dan Kuala Lumpur kerana pekerja tempatan pulang ke rumah di kawasan itu dan jangkitan bermula dalam keluarga serta komuniti,” katanya.
Dalam perkembangan membabitkan kakitangan kementerian yang ditempatkan sementara di Sabah, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan kakitangan dari Selangor dan Negeri Sembilan pulang ke negeri masing-masing.
Katanya, seramai 59 anggota perubatan dan 57 anggota kesihatan awam di Selangor digerakkan secara dalaman bagi kerja lapangan di Sabah manakala, seramai 64 anggota kesihatan awam juga digerakkan dari negeri lain.
“Ada permintaan untuk Selangor dan Negeri Sembilan mendapatkan kakitangan mereka yang berkhidmat ketika ini di Sabah. Sekarang ini tren penurunan kes di Sabah.
“Kita mungkin akan pertimbangkan mereka kembali ke negeri masing-masing untuk membantu pengesanan kes dan penilaian risiko,” katanya. -UTUSAN ONLINE