JASIN: Setiap pagi apabila pergi ke pasar untuk membeli barangan mentah bagi kegunaan kedai makannya, kereta Proton Saga milik Abdul Rahman Abu Bakar dari Taman Anggerik, Sungai Rambai yang bercorak berwarna-warni sentiasa menjadi tumpuan ramai.
Mana tidaknya, kenderaan berusia 28 tahun yang dibeli pada 1992 itu bukan sahaja masih gagah menyelusuri jalan raya tetapi paling unik apabila Abdul Rahman ‘membawa’ bersama mesej agar orang ramai melindungi diri daripada penularan Covid-19 yang masih tinggi.
Berkongsi dengan Utusan Malaysia, warga emas berusia 63 tahun itu berkata, dia mengukir slogan ‘Kita Jaga Kita’ pada keretanya selepas melihat sendiri kepayahan petugas barisan hadapan mengekang wabak itu sejak Mac lalu.
Kata peniaga kedai makan yang dikenali sebagai Pak Man itu, sepatutnya dia menghiasi kenderaan dengan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan seperti setiap tahun, namun wabak Covid-19 memberi idea kepadanya untuk mengingati antara satu sama lain.
“Pada Julai lalu, saya terlintas untuk mengukir badan kereta dengan perkataan Covid-19, ‘Kita Jaga Kita’, ‘Polis’, ‘Bomba,’ ‘Tentera’ dan agensi lain sebagai penghargaan kepada mereka di samping mahu mengingatkan diri sendiri dan penduduk sekitar tentang bahaya wabak berkenaan.
“Ada juga yang bertanya mengapa ada nombor 17 dan 18 di Proton Saga saya serta perkataan HPSF (Hospital Pakar Sultanah Fatimah) sedangkan angka yang sinonim dengan wabak itu adalah 19.
“Sebenarnya, semasa saya berada di HPSF, Muar, Johor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada 17 Mac lalu saya menonton berita televisyen di situ yang memaklumkan 18 Mac bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di
seluruh negara ekoran Covid-19,” katanya ketika ditemui semalam.
Bercerita lebih lanjut, Pak Man berkata, pandemik itu turut memberi sedikit kesan kepada perniagaan kedai makannya. – UTUSAN ONLINE