GEORGETOWN :Pasangan suami isteri cacat penglihatan yang terjejas punca pendapatan sebagai tukang urut bersyukur apabila orang ramai sudi mendapatkan perkhidmatan mereka selepas keperitan hidup keluarga berkenaan disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Yusof Jamaluddin, 50, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Taman Manggis di sini berkata, dua hari lalu dia dan isteri menerima banyak panggilan telefon daripada ramai pihak yang mahu membantu dan mendapatkan perkhidmatan mereka.
“Saya sangat bersyukur dengan sikap prihatin masyarakat kita ramai yang tampil membantu.
“Pada mulanya saya hairan kenapa ramai yang ingin membantu kami, selepas dijelaskan kisah keluarga kami disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia baru saya faham mengapa ramai yang tampil menghubungi,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia pada 1 Disember lalu menyiarkan kisah Mohd. Yusof dan isterinya, Norzalia Ramli, 35, yang cacat penglihatan hanya mampu memperoleh kurang daripada RM250 sebulan ekoran pandemik Covid-19.
Kerjaya mereka sebagai tukang urut terjejas dan hanya bergantung harap dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kehidupan.
Menurut Mohd. Yusof, dia juga sangat terharu apabila terdapat individu yang tidak dikenali turut menyumbang wang untuk membantu keluarga mereka.
“Ada yang bertanya nombor akaun bank dan memasukkan wang untuk membantu kami.
“Kami sangat hargai segala bentuk bantuan daripada orang ramai di kala kami kesusahan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, oleh kerana keadaan pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya, dia dan isterinya terpaksa mengehadkan jumlah pelanggan buat sementara.
“Sehari mungkin saya dapat urut dua atau tiga orang pelanggan sahaja kerana saya bimbang dengan anak yang masih kecil di rumah terdedah dengan risiko Covid-19.
“Selepas ini jika Covid-19 pulih, saya bersedia menerima lebih ramai pelanggan di rumah,” katanya. -UTUSAN ONLINE