SINGAPURA: Sebuah kilang tepung tempatan didenda S$3,000 (RM9,126) kerana gagal menjaga kebersihan premisnya dan memastikan bebas daripada masalah pembiakan haiwan perosak.
Dalam satu kenyataan akhbar, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan, pihaknya menemukan ‘lipas dan tanda-tanda pembiakan tikus di kawasan pemprosesan makanan’ semasa pemeriksaan dijalankan di premis berkenaan pada 29 Januari lalu.
Jelas agensi itu, beberapa kelemahan berkaitan dengan penjagaan kebersihan premis juga ditemukan.
Lesen operasi kilang tersebut digantung SFA selama 15 hari antara 30 Januari hingga 13 Februari lalu.
Jelas SFA, penggantungan itu ditarik balik setelah kilang berkenaan memperbaiki kelemahan dan mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kebersihan di premisnya.
“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama kerana makanan boleh tercemar di mana-mana tahap sepanjang rantai makanan.
“Semua pengendali makanan harus memastikan premis mereka bersih dan dijaga dengan baik dan kakitangan dilatih secukupnya mengenai pengurusan keselamatan makanan yang betul,” tambah SFA seperti dipetik dari Berita Mediacorp.
Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan atau syarat kebersihan makanan dan keselamatan makanan.
Pesalah boleh dikenakan denda hingga S$10,000 (RM30,421), penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya.