IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak menyifatkan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak menerusi usul undi percaya ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini sebagai kemenangan sistem demokrasi.
Naib Pengerusi PKR negeri, Tan Kar Hing berkata, hasil undian itu juga menunjukkan kerjasama dalam komponen kerajaan PN Perak adalah amat rapuh dengan pelbagai pergolakan dalaman.
Katanya, ini dapat dilihat menerusi usul itu yang dibawa oleh wakil kerajaan namun dalam kalangan mereka sendiri tidak percaya kepada usul berkenaan.
“Kerajaan dipimpin oleh Ahmad Faizal gagal mendapat undi percaya yang cukup hingga mengakibatkan beliau dan kerajaan sedia ada perlu mengundur diri.
“Sejak menubuhkan kerajaan pusat kita boleh lihat gabungan ini rapuh dan ada banyak pergolakan dalaman berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kar Hing mengulas mengenai kegagalan Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan dalam undi usul percaya terhadap beliau hari ini.
Dalam undian daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Abd. Manaf Hashim. – UTUSAN ONLINE