KUALA LUMPUR: Adalah tidak wajar mengenakan tindakan disiplin terhadap Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah walaupun bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob berkata, tindakan itu hanya mengundang implikasi negatif kepada parti termasuk risiko kehilangan ahli.
Selain itu katanya, tindakan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li itu dibuat atas kepentingan sebagai Ahli Parlimen untuk menggagalkan Belanjawan 2021 dan bukannya parti.
” Ia hanya memberi implikasi negatif jika Ku Li diambil tindakan. Lagipun tindakan beliau bukan untuk merosakkan parti.
” Selain itu tindakan disiplin boleh menyebabkan penyokongnya melihat UMNO sebagai kejam dan cuba bermusuh, walhal beliau pergi atas kapasiti Ahli Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan akan bekerjasama dengan Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang bagi menyumbangkan pengalaman mereka dalam bidang politik dan pentadbiran supaya negara Malaysia kembali maju.
Dr. Mahathir berkata, ahli-ahli politik di Malaysia tidak berminat untuk memajukan Malaysia sebaliknya membuang masa bermain politik.-UTUSAN ONLINE