Kerjasama dengan PDRM kurangkan kemalangan di LPT2 31 peratus - Utusan Malaysia

Kerjasama dengan PDRM kurangkan kemalangan di LPT2 31 peratus

ZAKARIA Ahmad Zabidi (kanan) menyerahkan replika kunci kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) kepada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nazri Hussain di Hotel Paya Bunga (PB) di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Inisiatif Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama termasuk dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengurangkan sebanyak 31 peratus kadar kemalangan di lebuh raya itu dari 2016 hingga 2019.

Pengarahnya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kerjasama itu termasuk sumbangan dua kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan rondaan dijalankan dengan lebih efektif di LPT2.

Di samping itu, katanya, terdapat seramai 60 anggota LPT2Ronda termasuk lapan anggota EMPV PDRM ditugaskan di LPT2 bagi membantu menjaga pelanggan di sepanjang 184 kilometer laluan dari Jabor ke Kuala Terengganu.

“Pihak LPT2 sedar kemungkinan trafik naik mendadak pada bulan ini berikutan pengumuman kerajaan membenarkan kembali perjalanan merentas negeri, jadi kita telah melakukan pelbagai persediaan untuk membantu pelanggan kami bergerak dengan selamat, selesa dan lebih mudah.

“Dengan sumbangan kenderaan EMPV jenis Mitsubishi Outlander ini kita yakin dapat membantu pemantauan yang lebih efisien sekali gus meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Zakaria menyerahkan sumbangan EMPV itu kepada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nazri Hussain di Hotel Paya Bunga (PB) di sini.

Menurutnya, inisiatif sama pernah dilakukan pada 2017 membabitkan sumbangan dua EMPV Mitsubishi GT Lancer untuk rondaan pihak polis di lebuh raya berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nazri mengucapkan terima kasih kepada pihak LPT2 atas sumbangan kali kedua itu yang bakal membantu pihaknya memastikan keselamatan pengguna di samping menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dengan lebih berkesan.

“PDRM dan LPT2 akan terus bekerjasama dalam aspek keselamatan bagi memastikan sebarang aktiviti jenayah ]serta pelanggaran kesalahan lalu-lintas dapat dikurangkan agar pengguna berasa selamat ketika menggunakan laluan tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya