Kerja baik pulih Lebuh Raya Pasir Gudang tidak ikut spesifikasi  - Utusan Malaysia

Kerja baik pulih Lebuh Raya Pasir Gudang tidak ikut spesifikasi 

HASSAN (tengah) meninjau kerja baik pulih Lebuh Raya Pasir Gudang berhampiran susur keluar ke Plentong, Pasir Gudang, Johor. UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kerosakan Lebuh Raya Pasir Gudang tidak boleh lagi diturap seperti biasa sebaliknya perlu dibaiki dengan kaedah baharu yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, masalah kerosakan di laluan berkenaan sudah lama berlaku dan kerja pembaikan dilakukan ketika ini tidak tahan lama apabila didapati kerja penurapan telah dibuat tidak memenuhi spesifikasi sepatutnya.

“Walaupun saya bukan seorang jurutera, namun, saya tahu kerja pengorekan serta penurapan yang cetek akan menyebabkan jalan raya yang diturap rosak semula apabila hujan selain kerap dilalui kenderaan berat.

“Saya berharap Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru turun padang memantau kerja pengorekan, penampalan dan penurapan yang dilakukan kontraktor.

“Ini penting kerana kontraktor dipercayai menggunakan buruh warga asing yang tidak terlatih serta menggunakan peralatan usang seperti cangkul untuk membaiki Lebuh Raya Pasir Gudang yang sudah rosak teruk,” katanya kepada pemberita semasa meninjau kerja penampalan berhampiran susur keluar ke Plentong di sini hari ini.

Beberapa kemalangan maut telah dilaporkan berlaku di laluan berkenaan baru-baru ini melibatkan sebuah pembonceng motosikal maut selepas motosikal itu melanggar lubang serta seorang pekerja penyelenggaraan yang cedera parah dirempuh ketika sedang melakukan kerja pembaikan.

Tambah beliau, pemantauan perlu dibuat bagi memastikan kerja pembaikan dibuat dengan bermutu dan mengikut spesifikasi ditetapkan bagi memastikan kerosakan tidak kerap berlaku di kawasan sama.

“Kita tidak mahu kerja yang tidak bermutu dilakukan oleh pihak kontraktor, selain membahayakan itu hanya akan membazir wang kerajaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hassan memberitahu pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad semalam bagi mendapatkan temu janji selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang untuk membincangkan masalah itu.

“Ini bagi membincangkan dengan lebih terperinci isu keselamatan di Lebuh Raya Pasir Gudang yang merupakan laluan penting di negeri ini kerana ia menyambungkan tiga bandar raya iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.

“Saya ingin melihat laluan ini menjadi lebuh raya yang selamat dan mencapai kelas dunia, bukan seperti sekarang di mana ianya bahaya dan tidak selamat dengan kemalangan berlaku hampir setiap hari,” tambah beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya