JOHOR BAHRU: Geng kongsi gelap di negeri ini dikesan aktif menjalankan kegiatan haram menjual kenderaan yang ditarik setelah gagal membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan yang bertindak sebagai penarik kereta itu tidak menyerahkan kenderaan itu kepada pihak bank sebaliknya menjual kereta itu kepada pihak ketiga.
Katanya, kenderaan tersebut akan dilekatkan pelekat khas digelar sebagai kereta ‘piang’ dijual dengan harga jauh lebih murah selain mengenakan bayaran perlindungan bulanan bagi mengelak daripada ditarik penarik kereta yang lain.
Jelasnya, kegiatan tersebut antara aktiviti geng kongsi gelap selain aktiviti utama mereka iaitu mengedar dadah.
“Pelekat khas akan diberikan pada kenderaan yang ditarik setelah gagal bayar kepada bank. Pemilik yang baharu perlu membayar wang perlindungan antara RM100 sebulan.
“Sasaran kumpulan ini melibatkan kenderaan mewah. Pelekat itu bertujuan membolehkan mereka bergerak bebas dalam negeri ini sahaja dan tidak boleh keluar kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Aktiviti kereta ‘piang’ itu dipercayai antara punca kes pembunuhan yang berlaku terhadap seorang penarik kereta di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sedenak, Kulai pada 20 Disember lalu.
Ayob Khan berkata, perebutan kenderaan jenis Toyota Velfire itu menyebabkan seorang lelaki dikenali sebagai Ram ditemukan maut dalam keadaan terbaring dengan beberapa tetakan dan kecederaan pada anggota badan serta kepala.
Katanya, susulan kejadian tersebut, polis Johor telah menahan 12 individu dipercayai daripada geng kongsi gelap Ngo Seik Kee berusia lingkungan 17 hingga 31 tahun dalam beberapa tangkapan berasingan.
Tambahnya, dalang atau ketua kongsi gelap itu dikenali sebagai Tan Kim Boon, 36 tahun yang juga suspek utama kes berkenaan masih bebas dan masih berada di negeri ini. – UTUSAN