Kerana duit RM40, penganggur didakwa pukul isteri guna seterika - Utusan Malaysia

Kerana duit RM40, penganggur didakwa pukul isteri guna seterika

Muhamad Hafizan Mohd. Yusoff (tengah) diiiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan seterika pada bulan lalu di Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memukul isterinya menggunakan seterika pada bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Hafizan Mohd. Yusoff, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan seterika terhadap isterinya, Siti Khadijah Zakariah, 28, kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Kampung Limbongan, 25 November lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan Seksyen 324, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi Seksyen 326A, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum.

Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh meminta sejumlah wang daripada isterinya, namun wanita tersebut hanya memberikan RM40 kepadanya.

Tertuduh tidak berpuas hati lalu mereka bertengkar sebelum lelaki itu bertindak memukul isterinya dengan seterika di kepala.

Pergaduhan di dalam bilik itu turut disaksikan oleh anak sulung lelaki mereka yang berusia tujuh tahun.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa serta tiga orang anak mereka sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak bekerja.

Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 12 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN