Kerajaan setuju bantu pengusaha bas persiaran - Utusan Malaysia

Kerajaan setuju bantu pengusaha bas persiaran

WAN SHAIRI Wan Ahmad (berdiri depan empat dari kiri) bersama ahli Gabungan Pertubuhan Bas Persiaran Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Zuraida Kamarudin dan Alexander Nanti Linggi di Putrajaya hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas hampir 10 bulan gigih berjuang, Gabungan Pertubuhan Bas Persiaran Malaysia akhirnya kini boleh menarik nafas lega apabila usaha mereka itu sedia dibantu pihak kerajaan.

Berita yang amat menggembirakan 1,800 pengusaha dengan 6,840 buah bas persiaran di seluruh negara itu dicapai hasil pertemuan secara serentak bersama dua menteri, hari ini.

Mereka ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perkara itu diakui jurucakap gabungan tersebut, Wan Shairi Wan Ahmad yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP).

“Kami berasa amat gembira dan bersyukur apabila pihak kerajaan beri jaminan bakal wujud Pasukan Petugas Pelan Pemulihan bagi bantu bela nasib pengusaha yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini yang disertai Presiden GAPP, Abdul Aziz Ismail Gani dan Presiden Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung, Steven Chong.

Mengulas lanjut, Wan Shairi berkata, antara diambil kerajaan ialah meminda Seksyen 7, Akta Langkah Sementara Pengurangan Penyakit Koronavirus yang lazimnya dirujuk Akta Covid-19.

“Ini lebih praktikal berbanding membuat akta baharu yang ambil masa lebih tiga bulan, walhal ramai ahli kami sendiri sudah hampir muflis dengan lebih 100 buah bas ditarik,” jelas beliau.

Menerusi pindaan kecil itu yang dijangka dapat siap sebelum akhir tahun ini, syarikat kredit akan beri moratorium sehingga akhir tahun depan termasuk bayaran pinjaman sewa beli bas.      

Langkah itu membolehkan agensi pelancongan tidak disenarai hitam oleh agensi rekod kredit awam dan membolehkan mereka membuat pinjaman daripada pihak bank tanpa masalah.

“Kementerian terlibat akan bermesyuarat dengan semua institusi perbankan Isnin ini bersama Kementerian Kewangan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya.

Wan Shairi menambah, ketika ini ada kelompangan dalam Akta Sewa Beli 1967 yang tidak pernah dipinda tetapi dieksploitasi syarikat kredit untuk ‘menindas’ peminjam sehingga muflis.

Zuraida sendiri ujarnya, dilapor terkejut apabila diberitahu syarikat terbabit asalnya tertakluk Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 tetapi mengguna pakai akta lain bagi menekan pelanggan.

“Ada 20 syarikat kredit beri pinjaman kepada pengusaha bas namun cuma lima yang berdaftar dengan kementerian dan beri kerjasama termasuk kelonggaran bayaran baik,” tegas beliau.

Justeru, Wan Shairi berkata, usaha gabungan itu hampir berjaya sambil berharap kebajikan pengusaha terus dibela kerajaan kerana selama ini mereka melonjakkan sektor pelancongan.

Industri bas persiaran tempatan bahkan menjana pendapatan bidang pelancongan tanah air sekitar 25 peratus daripada RM86 bilion dibelanjakan lebih 26 juta pelancong asing tahun lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya