Kerajaan cadang definisi usia warga emas dinaikkan - Utusan Malaysia

Kerajaan cadang definisi usia warga emas dinaikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat mahu mengkaji semula definisi umur warga emas daripada usia 60 tahun ketika ini kepada 65 tahun.

Perkara itu antara cadangan dikemukakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam sesi pertama mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara 2020.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun mempengerusikan mesyuarat yang diadakan julung kali itu dan menerima empat cadangan lain termasuk perubahan definisi usia golongan tua di negara ini.

“Beliau berharap agar majlis ini terus diperkasa dan menjadi platform kerajaan bagi memenuhi hasrat dan pengiktirafan buat warga emas di Malaysia,” katanya kenyataan kementerian itu.

Ketika ini, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan umur warga emas bermula dari 65 tahun dan bukannya standard ulang tahun jubli emas Roman yang ditakrif sebagai 50 tahun.

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula meletakkan had minimum orang tua untuk digelar warga emas ialah 55 tahun meskipun banyak negara Barat menetapkannya 70 tahun.

Kenyataan kementerian itu menambah, ada juga cadangan Skim Sukarela Bank Masa untuk warga emas oleh Institut Maklumat Analisis Pasaran Buruh di Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sementara itu ujarnya, wakil Kementerian Kesihatan pula mencadangkan agar dibuat kajian semula Akta Perkhidmatan dan Penjagaan Kesihatan Warga Emas Berstatus Swasta 2018.

Wakil Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula mencadangkan kajian serta penggubalan baharu untuk Akta Pemaju Perumahan Persaraan.

“Mesyuarat itu dimaklumkan bahawa kerajaan turut prihatin kepada keperluan warga emas menerusi Belanjawan 2021 dengan meluluskan kenaikan kadar bantuan,” jelas kenyataan itu.

Antaranya ialah Bantuan Orang Tua daripada RM350 kepada RM500 dan Bantuan Kewangan Tahunan Pengendalian Pusat Aktiviti Warga Emas daripada RM33,000 kepada RM50,000.

Selain itu, nilai sagu hati sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah dinaikkan daripada RM150 kepada RM400 dan untuk setiap klien pula menerima daripada RM30 kepada RM80.

Beberapa inisiatif secara tidak langsung juga naik termasuklah pelepasan cukai perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan jagaan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM8,000.

“Sistem eWe sebagai pangkalan data untuk pendaftaran dan pemetaan warga emas juga dibina JKM bagi kenal pasti demografi, kemahiran dan keperluan mereka,” kata kenyataan itu.

Ia jelasnya, bagi melihat secara realiti tahap keperluan bekerja semula dan minat warga emas sebagai persediaan Malaysia menuju ke arah ‘Negara Tua’ menjelang tahun 2030 kelak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya