Kerajaan beri jaminan vaksin Covid-19 selamat - Utusan Malaysia

Kerajaan beri jaminan vaksin Covid-19 selamat

KHAIRY JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menafikan dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kononnya vaksin Covid-19 sebagai tidak selamat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, tuduhan ahli politik itu yang tular dalam kalangan pengguna media sosial adalah ternyata tidak berasas malah banyak diiringi fakta salah.

Antaranya isu kos yang didakwa ditanggung kerajaan lebih RM2 bilion bagi pembelian vaksin daripada firma perubatan ternama global, Pfizer termasuk konon ada tambahan RM1 bilion.

“Seperti saya sebut di Parlimen pada 7 Disember lalu, jumlah itu tidak betul dan saya sendiri tidak pasti sumber mana dapat angka itu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Khairy merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi menyelaras urusan program imunisasi Covid-19.

Beliau turut menyangkal dakwaan Tengku Razaleigh konon kos setiap dos penawar itu ialah RM234, walhal kurang RM100 termasuk penyimpanan dan pengagihan.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan kos sebenar vaksin tersebut kerana terikat dengan perjanjian yang tidak boleh didedahkan kepada umum namun caj dijamin masih berpatutan.

“Berdasarkan rundingan semasa, kita masih dalam anggaran peruntukan RM3 bilion yang cukup untuk menampung keperluan 70 peratus daripada penduduk Malaysia,” jelas Khairy.

Beliau turut bidas tuduhan tokoh politik itu konon Malaysia kekurangan bilik stor ultra-sejuk 80 darjah Celsius bawah paras beku kerana terdapat 125 ruang berkenaan di seluruh negara.

Menyentuh dakwaan Tengku Razaleigh bahawa bekas Naib Presiden Pfizer, Dr. Mike Yeadon sendiri menolak vaksin, Khairy menjelaskan, pandangan itu ditolak banyak pakar kesihatan.

Ini termasuk Vaccine Safety Net, agensi jaringan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyifatkan kenyataan itu tiada bukti kukuh dari sudut saintifik dan bersifat tanggapan liar.

“Sekali lagi saya menegaskan, semua vaksin perlu dapat perakuan dan juga berdaftar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara setelah melepasi pelbagai peringkat,” tambah Khairy.

Katanya, tidak timbul isu konon vaksin dibawa masuk ke negara ini memberi kesan berbahaya kerana kerajaan amat teliti dalam isu keselamatan ubat untuk menjamin kesihatan rakyat.

Khairy turut menjelaskan isu pembuatan vaksin wabak itu yang didakwa konon begitu pantas di seluruh dunia seolah-olah dicipta oleh pelbagai saintis tanpa melalui proses ketat dan jitu.

Sebaliknya tegas beliau, ia mampu dipercepatkan kerana data penyakit itu dikongsi semua pihak terlibat menerusi jaringan kerjasama global selain teknologi canggih berbanding era lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya