Keputusan saman Rayyan, Saidi 13 Jan. - Utusan Malaysia

Keputusan saman Rayyan, Saidi 13 Jan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan ahli perniagaan, Rayyan Radzwill Abdullah mendapatkan penghakiman terus dalam kes samannya terhadap bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin akan diputuskan 13 Januari ini.

Pada tarikh sama, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache akan membuat keputusan terhadap permohonan Saidi untuk membatalkan saman itu.

Rayyan, 41, memfailkan saman terhadap Saidi pada 29 Februari lalu atas dakwaan bekas rakan kongsinya itu gagal membayar baki bayaran RM9 juta iaitu perkhidmatan yang dilakukan bagi mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim itu menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan ringkas daripada peguam, Ravee G. Uthirapathy yang mewakili Rayyan selaku plaintif dan peguam Krishna Kumar yang mewakili Saidi.

Rayyan dan Saidi merupakan saksi pendakwaan dalam kes isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu.

Dalam penyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal tahun 2016, Saidi, 61, telah melantiknya sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh oleh defendan.

Dakwa plaintif, pada 10 Disember 2016, defendan telah berjaya memperoleh projek itu dengan nilai kasar projek adalah RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan, hasil usaha dan kerja-kerja yang dilakukan oleh plaintif.

Menurutnya, pada 10 Ogos 2017, defendan telah membayar wang sebanyak RM1 juta kepadanya dan sehingga kini baki bayaran sebanyak RM9 juta masih tertunggak dan belum dijelaskan oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta, ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya