ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan sedang membuat penelitian akhir sebelum menentukan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun Enam.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, kebarangkalian besar ujian penilaian itu akan dimansuhkan setakat ini, sekali gus menjadikan UPSR diduduki murid pada tahun lalu sebagai yang terakhir.
“Kementerian sedang dalam peringkat akhir kajian melihat keperluan UPSR dan keputusan mengenai perkara ini akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR selepas ini,” katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 148 pelajar cemerlang UPSR 2019 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 148 bekas murid 38 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) seluruh Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Ditanya mengenai perancangan kementerian untuk menilai pencapaian akademik murid tahun akhir sekolah rendah itu, Muslimin memberitahu kaedah pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temuduga antara kaedah yang boleh dipertimbangkan.
“UPSR adalah ujian penilaian dan boleh digantikan dengan kaedah lain seperti pentaksiran sepanjang masa yang lebih asli serta berterusan sifatnya bagi membantu menempatkan murid-murid di lima jenis sekolah khusus,” katanya.- UTUSAN ONLINE