Keputusan fatwa vaksin Covid-19 diumum minggu depan - Utusan Malaysia

Keputusan fatwa vaksin Covid-19 diumum minggu depan

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia dijangka mengetahui keputusan muktamad fatwa bagi penggunaan vaksin Covid-19 daripada sumber haram seawal-awalnya pada minggu depan.

Ia disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada program Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi hasil keputusan yang sudah ditetapkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu semalam.

“Perkara ini sudah dibincang tetapi kita akan mengikut secara tertib dan berhemah, yang mana kita akan persembahkan perkara ini (terlebih dahulu) kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Insya-Allah (pengumuman fatwa tersebut) tidak ambil masa yang lama, dalam minggu depan kita (Jakim) akan bagi kenyataan,” kata Zulkifli apabila ditanya keputusan pihak muzakarah sebagaimana dipetik laporan Bernama.

Terdahulu beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Video Kreatif Maulidur Rasul 1442H yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan.

Semalam, Zulkifli ketika ditemui wartawan selepas Majlis Penyampaian Amanat Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mengesahkan mesyuarat bagi bincang isu itu.

Beliau malah akur dengan segala keputusan mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-10 itu kerana mahu mengelak daripada berlaku dua fatwa yang berbeza.

Ia susulan pada 24 November lalu, Zulkifli ketika persidangan Dewan Rakyat memaklumkan bahawa ajaran Islam memberi kelonggaran penggunaan vaksin bersumberkan bahan haram.

Namun banyak negara Islam dilaporkan enggan menerima vaksin yang diperbuat daripada bahan haram walaupun atas faktor darurat bagi kekang penularan kes wabak maut Covid-19.

Mengulas, Zulkifli berkata, pihak Jakim dalam proses mengeluarkan majalah khas untuk sebar penjelasan dan ulasan berkaitan isu vaksin yang masih diragui kalangan umat Islam sendiri.

Langkah tersebut ujar beliau, sebagai usaha proaktif agensi tersebut dalam menangani permasalahan ummah dengan memberi kefahaman yang sebenarnya mengenai perkara itu.

“Majalah ini yang setebal 40 muka surat itu akan diterbitkan pihak Jakim berbentuk santai dan (kandungannya) mudah difahami dalam kira-kira dua minggu lagi,” tambah beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN