ALOR SETAR: Di sebalik raut wajah yang tenang, terselit keperitan ditanggung oleh seorang ibu tunggal membesarkan sembilan orang anak berusia antara 2 bulan hingga 19 tahun.
Lebih menyedihkan, Saaidah Puteh, 39, dari Kampung Dewan, Alor Malai di sini kematian suaminya, Zainol Abidin Ibrahim, 47, yang menghidap kencing manis pada 30 Oktober lalu iaitu sebelum kelahiran anak ke sembilan mereka.
Malah salah seorang anak ibu tunggal itu juga Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori lemah dalam pelajaran.
Saaidah yang merupakan suri rumah sepenuh masa tidak mempunyai sumber pendapatan lain untuk membesarkan anak-anaknya termasuk tujuh orang yang masih bersekolah.
“Saya sedih apabila mengenangkan nasib dan masa depan anak-anak saya yang masih kecil selepas kematian ayah mereka.
“Selepas ini, saya terpaksa bergantung kepada anak-anak lelaki saya yang rajin melakukan kerja-kerja sampingan pada hari cuti sekolah.
“Anak sulung saya berusia 19 tahun yang baru menamatkan persekolahan juga bekerja secara sambilan bagi membantu meringankan beban saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sembilan orang anak Saaidah ialah Muhammad Zuffar Aliff, 19, Nurul Aliah Athirah, 17, Muhammad Zufar Azriel, 15, Muhammad Zuffar Aidil, 14, Nurul Alia Alesya, 11, dan Nurul Aliah Aqilla, 8.
Tiga lagi ialah pasangan kembar, Nurul Alia Aneesa, 5, dan Nurul Alia Areesa, 5, serta Nurul Alia Afiyya, 2 bulan.
Saaidah memberitahu, Muhammad Zuffar Azriel dan Muhammad Zuffar Aidil belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Aman di sini.
Muhammad Zuffar Aidil yang OKU kategori lemah dalam pelajaran menuntut di kelas khas di sekolah tersebut.
Selain itu, Nurul Aliah Athirah pula belajar di SMK Tunku Sofiah.
“Nurul Alia Alesya dan Nurul Alia Alesya pula masih belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Raudzah di sini.
“Dua anak kembar saya, Nurul Alia Aneesa dan Nurul Alia Areesa pula akan mula masuk kelas tabika,” katanya.
Dalam pada itu, Saaidah berkata, dia bersyukur apabila arwah suaminya yang bekerja di sebuah syarikat kontraktor merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 2017.
“Alhamdullilah saya menerima faedah pencen penakat termasuk sembilan anak saya sehingga mereka berusia berumur 21 tahun.
“Saya akan menggunakan faedah Perkeso itu dengan sebaik-baiknya untuk membesar dan menyara ahli keluarga memandangkan saya tidak mempunyai sumber pendapatan tetap yang lain,” katanya.-UTUSAN ONLINE