SEPANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius insiden jenayah membabitkan kanak-kanak yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya perlu mencari faktor yang menyumbang kepada insiden itu agar ia tidak berulang lagi.
Katanya, faktor tekanan emosi, psikologi atau masalah lain akan dikenal pasti sehingga menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa.
“Kita tidak mahu perkara begini berulang lagi, apakah puncanya, isunya perlu diselesaikan, adakah mereka alami tekanan emosi dan akhirnya anak-anak menjadi mangsa,” katanya selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga B40 Kampung Bukit Bangkong di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang, Sungai Pelek di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kes membabitkan kecederaan terhadap seorang bayi 20 bulan dilaporkan apabila bapanya mengamuk dan didakwa menikam perut anaknya itu di Perumahan Flat Puchong Permai, Subang Jaya.
Sementara itu, Rina berkata, kementerian sedang menyusun balik struktur agensi seperti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang mana akan menambah 8,000 kakitangan baharu pelbagai jawatan pada tahun depan dalam menangani pelbagai isu.
“Permohonan pertambahan ini telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dijangka diluluskan tahun depan.
“Pertambahan ini akan memberikan lebih peranan pegawai JKM itu terhadap tugas-tugas yang diberikan.
“Pada masa sama, kesedaran komuniti setempat juga diperlukan bagi menangani masalah ini terus berlaku,” katanya. -UTUSAN ONLINE