PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mula giat meneruskan kembali pelbagai inisiatif dan program dirancang sebelum ini di seluruh negara.
Hal ini susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali di beberapa negeri dan daerah tertentu yang bermula semalam.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan keputusan itu sebagai tepat dan memberi khabar gembira buat rakyat termasuk komuniti peniaga dan pengguna.
“Perkembangan terbaharu ini dilihat bakal membuka semula peluang sektor perniagaan dan merancakkan aktiviti ekonomi domestik negara,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau selanjutnya menambah, susulan langkah penamatan PKPB itu, segala program dan inisiatif kementerian tersebut yang dihentikan sementara sebelum ini dapat digerak kembali.
Satu daripada inisiatif yang akan digerakkan kembali adalah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang dilancarkan pada Julai lalu selain Program Jelajah Francais 2020.
Pelbagai usaha giat dilaksanakan untuk mempromosikan KBBM dan PJM melalui media massa dan sosial sebagai suntikan semangat kepada pengeluar dan usahawan tempatan.
“Animasi Upin & Ipin – Barang Baik, Barang Kita bagi promosi KBBM dan PJM merekodkan lima juta tontonan sejak mula disiarkan melalui platform YouTube minggu lalu,” jelas beliau.
Justeru Alexander berbangga siri episod 14 itu antara pendekatan inovatif pihak kementerian dalam mempromosikan inisiatif tersebut dalam kalangan rakyat terutamanya kanak-kanak.
Selain itu, pejabat kementerian di negeri akan menggerakkan inisiatif seperti Kempen Kembali Ke Sekolah 2021, bantuan mangsa bencana dan program FoodBank kepada penuntut IPT.
Tambah beliau, di samping aktiviti pemantauan dan pemeriksaan premis perniagaan, kes Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia yang tertangguh dan pelan tindakan juga diaktifkan.
“Hakikatnya, sokongan segenap lapisan rakyat amat penting demi memastikan kejayaan semua program, seterusnya mendukung usaha pemulihan ekonomi negara kita,” katanya.
Alexander turut menyeru rakyat memanfaatkan pelbagai kemudahan disediakan kementerian itu yang diwujudkan bagi mempermudahkan urusan proses dalam banyak sektor tertentu.
Sebagai contoh jelasnya, peniaga mudah memohon untuk menjalankan aktiviti jualan murah di premis dengan hanya mengisi maklumat yang diperlukan melalui aplikasi MySalesTracker.
Malahan kata beliau, para pengguna sebenarnya boleh mendapatkan maklumat pelbagai jualan murah ada di kawasan mereka menerusi aplikasi berkenaan sebelum keluar rumah.
“Kementerian akan terus bantu pengguna dan mempermudahkan urusan perniagaan dalam kita bersama-sama harungi situasi sukar ketika ini. Kalau bukan kita, siapa lagi?” katanya.