PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengesahkan, pihaknya melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima permohonan bagi pendaftaran bersyarat vaksin Pfizer pada 15 Disember lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, justeru pihaknya dalam proses untuk melihat kepada pendaftaran tersebut berdasarkan dokumen yang telah diterima.
“Kita mensyaratkan pendaftaran bersyarat, jadi kita sedang melihat penilaian kualiti dan keselamatan produk tersebut berdasarkan dokumen yang dimajukan.
“Seramai 11 pakar perubatan bidang berkaitan dikenal pasti untuk melihat dokumen yang diserahkan kepada kementerian dan kita mungkin mengambil masa 90 hingga 120 hari (untuk membuat penilaian),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, kementerian memberi keutamaan untuk melihat kepada keselamatan vaksin serta keberkesanannya menerusi langkah pertama manakala, bagi langkah kedua ialah dari segi pembekalan dan perolehan dijalankan bersama Kementerian dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Ujarnya, dari segi logistik bagi mendapatkan vaksin tersebut, ia membabitkan urusan pentadbiran dan kerjasama turut dilaksanakan dengan kementerian lain bagi memastikan urusan berjalan sebaik mungkin.
“Langkah ketiga ialah keutamaan pemberian vaksin ini kepada rakyat Malaysia iaitu golongan tertentu seperti petugas kesihatan, barisan hadapan dan sebagainya seterusnya, langkah keempat ialah pemantauan kesan sampingan akan dinilai sekiranya berlaku.
“Bagi langkah kelima pula ialah dari segi keseluruhan tercapai tak vaksin ini untuk melindungi rakyat Malaysia daripada Covid-19,” katanya.-UTUSAN ONLINE