LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) percaya jumlah kehadiran pelancong di pulau peranginan ini mencapai sasaran seramai 250,000 orang pada Disember ini dengan pertambahan penerbangan secara terus dari Kota Bharu, Kelantan bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Hezri Adnan berkata, trend kemasukan pelancong ke pulau ini semakin meningkat sejak kerajaan memberi kebenaran merentas daerah dan negeri di seluruh negara bermula 7 Disember lalu.
“Pada hari ini, kita menyambut penerbangan sulung AirAsia AK6289 dari Kota Bharu, Kelantan ke Langkawi yang membawa seramai 96 orang penumpang.
“Pesawat ini juga akan membawa seramai 108 orang penumpang dari Langkawi ke Kota Bharu selepas ini.
“Ini merupakan angka yang sihat apabila terdapat pergerakan pelancong yang masuk dan keluar di pulau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan AirAsia AK6289 dari Kota Bharu ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan sebanyak 27 penerbangan dilaporkan telah mendarat di Langkawi semalam sahaja.
“Terdapat 23 penerbangan lagi tiba di pulau peranginan ini pada hari ini,” katanya.
Pada masa sama, tambahnya, LADA juga merancang untuk mengadakan promosi pelancongan di Kota Bharu pada awal Januari depan bagi mengekalkan lebih ramai pengunjung ke pulau ini.
Sementara itu, seorang penumpang penerbangan itu, Niksah Mat Min, 56, berkata, sebelum ini dia pernah menaiki pesawat ke Langkawi, namun perlu melalui Kuala Lumpur untuk transit atau selepas itu menaiki pengangkutan darat sebelum menaiki feri.
“Bila ada penerbangan terus seperti ini, saya berasa teruja kerana lebih mudah dan menjimatkan masa apabila tidak perlu bersusah payah transit di Kuala Lumpur,” katanya. -UTUSAN ONLINE