Kedah terokai kerja mineral baharu RM60 bilion - Utusan Malaysia

Kedah terokai kerja mineral baharu RM60 bilion

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri telah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penerokaan mineral baharu bernilai kira-kira RM60 bilion di Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, mineral daripada jenis Unsur Nadi Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) tersebut dijangka mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada hasil negeri sekali gus boleh digunakan untuk pembangunan serta kesejahteraan rakyat. 

“Permit tersebut diluluskan untuk mereka menjalankan kerja-kerja penerokaan di Sik. Mineral tersebut turut dikesan di Ulu Muda, Baling dan sedikit di Lenggong, Perak.

“Mineral REE ini ada 17 jenis dengan 13 daripadanya tidak mempunyai radioaktif. Yang terkandung di Kedah ini tidak mempunyai radioaktif dan nilainya lebih mahal daripada emas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kewujudan mineral tersebut telah dikesan di negeri ini sejak puluhan tahun lalu dengan permintaan terhadapannya kian meningkat ekoran perkembangan teknologi dunia kini.

“Mineral tersebut kian diperlukan untuk penghasilan barangan berteknologi tinggi seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain. Pada masa ini, dunia kian berkembang ke arah penggunaan mineral jenis itu,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, syarikat yang diberi kelulusan permit itu turut menjalankan kerjasama bersama syarikat antarabangsa selain syarikat milik kerajaan negeri (GLC).

“Sekiranya usaha untuk mengekstrak mineral ini berjaya, kita mahu pastikan supaya hasilnya akan mendatangkan nikmat untuk penduduk setempat serta negeri ini sendiri dan bukannya tempat-tempat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya