Kecewa keputusan tamatkan perkhidmatan feri tanpa suara NGO - Utusan Malaysia

Kecewa keputusan tamatkan perkhidmatan feri tanpa suara NGO

ABDUL KADER MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang kecewa dengan keputusan menamatkan perkhidmatan feri bagi kenderaan empat roda di negeri ini yang dilakukan tanpa mengambil kira pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Kader Md. Ali berkata, pihaknya dan NGO lain tidak dijemput untuk menyatakan pendapat berhubung penamatan perkhidmatan feri itu yang menjadi identiti pelancongan negeri ini.

“Kami amat kecewa dengan keputusan menamatkan perkhidmatan feri kerana tindakan ini dibuat tanpa mengambil kira pandangan NGO yang menjadi suara rakyat negeri ini.

“Keputusan ini membabitkan nilai sejarah dan keunikan negeri ini yang tiada pada negeri lain, maka sepatutnya memerlukan satu kajian yang menyeluruh sebelum dilaksanakan,” katanya di sini semalam.

Bermula 1 Januari depan, bot penumpang laju akan menggantikan perkhidmatan feri bagi menghubungkan penumpang antara pulau dan Perai.

Feri sedia ada juga hanya digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama sekali gus berakhirnya perkhidmatan feri untuk kenderaan empat roda di negeri ini.

Menurut Abdul Kader, cadangan menjadikan feri sebagai sebagai muzium atau restoran terapung juga tidak dapat mengembalikan nostalgia atau menarik pelancong ke negeri ini.

“Perkhidmatan feri seperti di Pulau Pinang ini hanya ada di Hong Kong, orang ramai datang ke negeri ini untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan yang bersejarah 126 tahun ini.

“Kita masih memerlukan perkhidmatan feri bagi kenderaan empat roda, bukan menukarnya menjadi muzium atau restoran terapung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna feri, Ahmad Yakqub Nazri, 38, berkata, sebagai anak jati negeri ini, keputusan penamatan operasi feri itu amat mengecewakan kerana feri merupakan lambang pelancongan negeri ini.

“Sebagai pengguna saya berpendapat satu atau dua buah feri perlu bergerak khas untuk membawa pelancong bersama kenderaan mereka bagi membangkitkan nostalgia sejarah,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya