SEREMBAN: Susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point, Nilai dekat sini, anggota tentera membuka kawat duri yang dipasang sebelum ini di sekitar kawasan tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kerja-kerja membuka kawat tersebut bermula pukul 12 tengah hari tadi dan selesai kira-kira sejam kemudian.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Putra Point, Nilai ditamatkan selepas dilaksanakan sejak 28 Oktober lalu.
Keputusan itu katanya, dibuat berpandukan nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan membabitkan keadaan terkini di lokaliti tersebut.
Pihak Kementerian Kesihatan melaksanakan 444 ujian saringan Covid-19 di PKPD Putra Point dan secara kumulatif merekodkan 320 kes positif.
PKPD Putra Point merupakan lokaliti pertama dilaksanakan di negeri ini sebelum kemudiannya dilaksanakan di kuarters dan Penjara Seremban. – UTUSAN ONLINE