Kastam lumpuhkan penyeludupan bir lima jam - Utusan Malaysia

Kastam lumpuhkan penyeludupan bir lima jam

Abdul Latif Abdul Kadir (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Johari Alifiah menunjukkan sebahagian rampasan bir seludup pada sidang akhbar Kastam menumpaskan pengedaran bir seludup bernilai RM110 ribu di Ibu Pejabat Kastam, di sini, hari ini.- UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan empat aktiviti pengedaran bir seludup dalam tempoh lima jam membabitkan rampasan 17,525 dengan jumlah duti dan cukai lebih RM500,000.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) dengan kerjasama Cawangan Narkotik Kastam turut berjaya menahan lima lelaki tempatan dalam empat serbuan, 24 November lalu.

Beliau berkata, serbuan pertama ke atas sebuah van di tepi jalan Seri Kembangan, di sini pada pukul 12 tengah hari membawa kepada rampasan 4,800 tin bir manakala individu yang mengaku sebagai pemilik van turut ditahan.

“Dalam serbuan kedua di Balakong pukul 3 petang, pemandu lori dan kelindan ditahan susulan lori satu tan mereka dirampas kerana membawa 1,920 botol bir.

“Setengah jam kemudian hasil soal siasat ke atas kedua mereka membawa kepada serbuan ke atas sebuah lori satu tan di kawasan berhampiran sebelum menemui 3,528 botol bir dan pemandu lori dan kelindan terbabit turut ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Abdul Latif berkata, serbuan terakhir di sebuah stor kawasan berhampiran menemui 27,000 tin bir.

Dalam serbuan itu, katanya, tiada tangkapan dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti pemilik stor.

“Jumlah keseluruhan bir yang dirampas dalam empat serbuan bernilai RM110,000 dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM448, 000 manakala nilai tiga kenderaan yang disita adalah RM150,000.

“Semua empat kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya.

Beliau berkata, dua akta terbabit memperuntukkan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 mengikut jumlah mana yang lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 mengikut jumlah mana yang lebih besar.

“Selain itu, mereka juga boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN