SEREMBAN: Pihak berkuasa digesa mendedahkan syarikat-syarikat yang terlibat dalam kegiatan kartel daging import yang kini dilihat telah menggangu fikiran khususnya umat Islam di negara ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, pendedahan itu penting supaya rakyat dapat berhati-hati dalam membuat pilihan ketika membeli daging sekali gus dapat mengelak daripada membeli produk-produk yang dikhuatiri status halalnya.
“Pihak berkuasa juga perlu dengan serta merta menarik semula semua produk-produk terlibat yang kini telah terlepas di pasaran. Disebabkan ia melibatkan darah daging, menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan setiap makanan benar-benar halal dan bersih.
“Tindakan segera ini adalah amat perlu dan amat mendesak memandangkan ini juga melibatkan imej negara sebagai sebuah negara Islam yang sentiasa dihormati kerana sistem pentadbiran Islam yang efisien termasuk dengan status persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang cukup diyakini di serata dunia Islam lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berpandangan, kerajaan juga perlu mempertingkatkan penguatkuasaan supaya perkara sama tidak berulang dan sekiranya perlu anggota pengutakuasaan ditambah, ia perlu dilakukan.
“Penguatkuasaan juga perlu lebih tegas dan telus, jangan dilindungi sesiapa pun yang menjadi dalang kepada sindiket kartel daging ini biarpun individu itu seorang kenamaan mahupun rakyat biasa. Mereka ini perlu dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal kerana ini merupakan satu pengkhianatan kepada negara.
“Ambillah tindakan segera kepada isu kartel ini, pandanglah ia sebagai isu yang berat dan memerlukan satu pemerhatian serta tindakan segera. Sama-samalah kita pastikan supaya makanan halal di negara ini terus diyakini dan mendapat pengiktirafan dunia,” katanya. -UTUSAN ONLINE