JOHOR BAHRU : Kapal tangki yang berdaftar dari Alofi, Niue ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana didapati bersauh tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, Kota Tinggi semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, kehadiran kapal itu dikesan selepas pihaknya melaksanakan rondaan operasi harian dan melakukan pemeriksaan kapal tersebut pada pukul kira-kira 12.40 petang di kedudukan 3.5 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop.
Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan, kapal tersebut yang berdaftar di Alofi, Niue dan dikendalikan oleh 10 orang kru termasuk nakhoda dengan mereka merupakan warga Indonesia berusia antara 35 hingga 63 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia.
“Kapal tangki tersebut seterusnya ditahan dan kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Sulhan menegaskan, pihaknya sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan akan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan untuk sebarang aktiviti demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur. -UTUSAN ONLINE