PASIR PUTEH: Seramai 20 kanak-kanak golongan asnaf selamat dikhatankan di sini hari ini di bawah pengurusan seorang jurugambar bebas yang berjaya mengumpulkan sejumlah dana bagi tujuan tersebut.
Jurugambar itu, Ramli Hussin berkata, dana daripada pelbagai pihak berjaya menyempurnakan satu tuntutan agama selain meringankan beban keluarga miskin yang terkesan dengan pendemik Covid-19.
“Kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun terlibat dengan program amal ini yang selesai dijalankan dalam tempoh tiga jam bermula pukul 9 pagi.
“Kos perkhidmatan berkhatan semakin meningkat dan sekiranya diuruskan sendiri ia memerlukan perbelanjaan hampir RM200 setiap seorang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ramli dalam pada itu menegaskan, program tersebut dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Beliau juga lega berjaya menjalankan amanah penyumbang dana dengan mencari keluarga miskin yang berhajat mengkhatankan anak mereka pada musim cuti persekolahan ini.
“Berkhatan adalah ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang merupakan salah satu dari lima fitrah manusia.
“Mazhab Shafie pula menegaskan bahawa amalan berkhatan adalah wajib bagi kaum lelaki dan wanita,” katanya. -UTUSAN ONLINE