ALOR SETAR: Jumlah kutipan zakat di Kedah dijangka menurun pada tahun depan akibat kesan daripada penularan Covid-19 sehingga menjejaskan pendapatan banyak pihak pada masa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya menjangkakan kutipan zakat akan berkurangan dalam beberapa sektor terutamanya berkaitan zakat perniagaan.
“Untuk tahun ini, kita masih tidak nampak kesannya kerana bayaran zakat hanya dilakukan setelah cukup haul untuk tempoh setahun. Tetapi pada tahun depan, kita memang jangkakan penurunan.
“Mungkin kesannya tidak begitu ketara bagi zakat pendapatan tetapi untuk zakat perniagaan dan lain-lain, memang kita jangkakan pengurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Pelan Strategik LZNK 2021-2025 dan Penyerahan Pengiktirafan ISO di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Syaikh Mahmood Naim yang juga Pengerusi LZNK.
Jumlah kutipan zakat di negeri ini setakat semalam ialah berjumlah RM187.97 juta manakala kutipan bagi sepanjang 2019 adalah sebanyak RM207.213 juta.
Sementara itu, Ammar pula berkata, pihaknya percaya kalangan umat Islam di negeri ini akan tetap menunaikan tanggungjawab untuk menunaikan zakat pada tahun depan.
“Umat Islam di negeri ini yakin terhadap LZNK di mana kita mengamalkan ketelusan dalam menguruskan wang-wang zakat.
“Sebagai contoh, kalangan pembayar zakat dapat melihat ke mana wang zakat mereka diagihkan melalui aplikasi ‘Zakat On Touch’ (ZOT),” katanya. -UTUSAN ONLINE