PUTRAJAYA: Kes keganasan keluarga di negara ini disasarkan mampu dapat dikurangkan lagi jika jumlah kaunselor profesional ditambah bagi seimbangkan dengan nisbah penduduk.
Isu itu antara sasaran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat susulan beberapa insiden penderaan sehingga ada yang jadi mangsa kekejaman ahli keluarga sendiri.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, beliau sedia membawa perkara itu dalam perbincangan dengan pihak Lembaga Kaunselor Malaysia bagi tambah lagi kaunselor baharu.
“Saya akan berbincang dengan presiden lembaga itu dan Majlis Kaunseling Malaysia kerana jumlah sedia ada belum cukup berbanding nisbah rakyat negara ini,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden seorang bapa tergamak menikam bayinya berusia 18 bulan dipercayai akibat masalah kekeluargaan di Puchong, Selangor, semalam.
Terdahulu Rina hadir menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Kembara Prihatin Negara kepada 47 penerima di Pangsapuri Cempaka, Pulau Meranti, Sepang dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau meminta agar masyarakat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan kaunseling profesional menerusi talian Nur Kasih yang dapat kerjasama lembaga berkenaan.
“Bukan semua orang boleh beri kaunseling secara bertauliah kerana kita ada Akta Kaunselor 1998 bagi kawal selia agar tiada individu cuba ambil kesempatan jadi kaunselor,” tegasnya.
Kerajaan pada 2018 pernah menyasarkan negara bakal memiliki sejumlah 11,000 kaunselor profesional menjelang 2020 iaitu nisbah seorang kaunselor bagi setiap 2,945 penduduk.
Ketika itu, kementerian tersebut hanya merekodkan seramai 8,039 kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia iaitu nisbah seorang bagi setiap 4,030 penduduk.
Bilangan agak rendah itu disebabkan syarat ketat ditetapkan kerajaan untuk seseorang dapat diiktiraf sebagai kaunselor dan menjalankan perkhidmatan agensi kaunseling bertauliah.
Situasi tersebut menyebabkan ramai graduan pengajian bidang psikologi di pelbagai pusat pengajian tinggi awam dan swasta berasa keberatan untuk menjadi kaunselor berdaftar. -UTUSAN ONLINE