LANGKAWI: Penjualan peluru di Sabah dan Sarawak akan diperketatkan di semua premis berlesen di dua negeri itu dalam mengekang penggunaan senjata api haram bagi tujuan pemburuan tanpa lesen.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya mendapati terdapat penjualan peluru oleh premis berlesen kepada pemilik senjata haram termasuk senjata buatan sendiri.
“Kebanyakan aktiviti pemburuan tanpa lesen menggunakan senjata haram yang diseludup dan pelurunya pula menggunakan peluru yang dijual di premis-premis berlesen.
“Sehubungan itu, kita akan ketatkan kawalan dan penjualan peluru supaya mereka (pemilik senjata haram) tidak diberi ruang dan peluang untuk guna senjata api haram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Abdul Hamid berkata, tindakan tersebut merupakan hasil perbincangan yang dilakukan dalam Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah itu.
“Selain itu, kita juga akan mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang mempunyai rumah kongsi di kawasan ladang di pinggir hutan dengan warga asing mengambil kesempatan memasang jerat haram,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menambah, mesyuarat sama turut memutuskan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Cawangan Khas akan bekerjasama dengan agensi terlibat untuk mengemas kini tindakan terhadap pesalah membabitkan khazanah negara.
“Kita amat serius dalam hal ini sebab ada unjuran mengatakan tindakan tidak sampai penghujung, sindiket yang ditangkap (orang) di bawah sahaja.
“Selepas ini, tindakan kita bukan sahaja nak penjarakan mereka (pesalah) tetapi juga nak bankrapkan mereka yang hidup dengan hasil haram,” tegasnya. – UTUSAN