KUALA LUMPUR : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa juga salah laku yang melibatkan mana-mana warga kerjanya dengan pihak-pihak luar yang bersangkutan aspek integriti.
Ketua Pengarahnya, Zailani Hashim berkata, pihaknya akan mengamalkan pendekatan terbuka dengan apa juga syor daripada orang awam (open-door policy) ke arah meningkatkan kecekapan jabatan itu di dalam penyampaian perkhidmatan secara aspek dalam talian.
Malah, beliau berazam untuk meningkatkan imej positif JPJ ke tahap yang lebih tinggi dan sekaligus meningkatkan tahap integriti di kalangan warga kerja jabatan itu tanpa mengesampingkan aspek kolaborasi rapat dengan agensi penguatkuasaan lain di negara ini.
“JPJ dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dalam memperkasakan aspek integriti serta tadbir urus yang telus di dalam pelaksanaan tugasan rutin melalui hubungan kerja strategik di antara kedua-dua agensi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, satu sesi lawatan kunjungan hormat oleh Zailani ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM semalam bagi mewujudkan satu kerangka kerja dan kolaborasi rapat ke arah menyuburkan budaya kerja berintegriti tinggi di seluruh Pejabat JPJ.
Dalam sesi pertemuan singkat ini juga, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyemak semula Nota Kerjasama (JPJ-SPRM) yang telah dimeteraikan pada tahun 2017 lalu, ke arah usaha untuk menambahbaik dan memantapkan hubungan kerja antara dua Jabatan ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dalam kenyataan sama juga memberitahu, pihaknya menyambut baik hasrat tersebut serta berjanji akan memberi kerjasama padu melalui penempatan Certified Integrity Officer (CeIO) di Bahagian Integriti JPJ.
“Sejak dahulu lagi hubungan strategik antara pihak JPJ dan SPRM telah direalisasikan melalui pelaksanaan Operasi Bersama, seperti Ops Kenderaan Klon, Penipuan Ujian Lesen Memandu dan lain-lain,” katanya.-UTUSAN ONLINE