KULAI: Kerajaan negeri merangka langkah penyelesaian bagi memastikan insiden isu kartel daging import memalsukan logo halal tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan Isnin depan bagi membincangkan langkah kerajaan seterusnya.
Katanya, pihaknya memandang serius kerana ia perkara yang sensitif buat masyarakat Islam di negara ini.
“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini dan melibatkan semua agensi kerajaan susulan pembongkaran kartel ini termasuklah pengusaha pelabuhan.
“Kita akan bincang dan merangka langkah seterusnya untuk memastikan kartel daging seperti ini tidak mudah membolosi negara sama ada melalui jalan darat atau laut. Ini tindakan segera yang akan kita buat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di gudang yang diserbu pihak berkuasa berhubung kartel daging yang memalsukan logo halal di Taman Perindustrian Senai, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Siti Nur Ahmad.
Rabu lalu, Maqis mengetuai serbuan melibatkan sebuah syarikat yang menyeludup daging sejuk beku ke negara ini dan membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal palsu.
Berdasarkan siasatan awal, daging sejuk beku yang diseludup masuk itu datang dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina.
Menurut Tosrin, pihaknya sedang merangka satu aplikasi direktori halal untuk memudahkan pengguna Islam dan bukan Islam mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk yang hendak dibeli mereka.
“Produk halal mempunyai pasaran yang besar bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di peringkat antarabangsa melibatkan pengguna Islam dan juga bukan Islam.
“Bagi memudahkan pengguna untuk mendapatkan produk halal yang diyakini, kita sedang membangunkan satu aplikasi direktori halal yang akan dilancarkan Mac tahun depan,” ujarnya lanjut.
Sementara itu, Tosrin menasihati pengguna khususnya masyarakat Islam di negeri ini untuk sentiasa memilih menggunakan produk yang diyakini status halalnya, sama ada menerusi logo halal Jakim atau logo halal lain yang diiktiraf kerajaan. -UTUSAN ONLINE