Johor lancar pusat data raya analitik - Utusan Malaysia

Johor lancar pusat data raya analitik

HASNI Mohammad menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Pusat Data Raya Iskandar Malaysia Urban Observatory di Johor Bahru, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor melancarkan Pusat Data Raya Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) sebagai langkah memperluaskan penggunaan perkhidmatan data analitik di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkhidmatan data analitik itu merupakan satu aspek utama dalam inisiatif Agenda Digital Johor.

“Penggunaan data analitik dalam sistem pentadbiran akan membantu kerajaan negeri, sektor perniagaan dan individu membuat keputusan yang akan memberi lebih manfaat kepada semua pihak terlibat.

“Agenda Digital Johor merupakan usaha kerajaan negeri dalam merancakkan semula sektor ekonomi berpandukan ekonomi digital sesuai dengan pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran IMUO itu di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Usaha ini disokong lima pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terletak dalam Wilayah Iskandar Malaysia iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Perbandaran Pontian.

Tambah Hasni, penggunaan data analitik akan memberi limpahan sosioekonomi kepada rakyat negeri ini di mana setiap keputusan dibuat kerajaan negeri akan berpandukan kepada data yang diperoleh.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, IMUO akan menganalisis jumlah data yang banyak daripada pelbagai punca bagi mendapatkan maklumat yang boleh digunakan untuk membuat keputusan strategik.

“Keputusan yang dibuat itu akan memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan peningkatan kualiti hidup buat penduduk setempat dan pengunjung yang mengunjungi wilayah ini.

“Data seperti umur, jantina, pendapatan keluarga, tahap kemahiran individu akan membantu kerajaan negeri memahami situasi rakyat sekali gus menyediakan pelan bersesuaian untuk membantu individu memerlukan.

“Sebagai contoh, 46 peratus penduduk di Wilayah Iskandar Malaysia merupakan golongan belia bawah 40 tahun.

“Maklumat ini dapat membantu kerajaan negeri merangka pelan ekonomi yang dapat dimanfaatkan golongan terbabit agar sama-sama menikmati pertumbuhan yang berlaku di wilayah ini,” ujarnya.

Tambah Ismail, IMUO ini merupakan satu inisiatif yang diguna pakai di peringkat global dan turut disokong Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam pelaksanaannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya